Thursday, August 27, 2009

KENALI……. PPMS (PROGRAM PEMBANGUNAN MASYARAKAT SETEMPAT) DI KAWASAN PPD (PUSAT PERTUMBUHAN DESA) KG. SUKAU HILIR KINABATANGAN



Taman Perumahan - PROGRAM PEMBANGUNAN MASYARAKAT SETEMPAT (PPMS) KG. SUKAU


PENGENALAN DAN RINGKASAN SEJARAH KEWUJUDANNYA

Program Pembangunan Masyarakat Setempat atau singkatannya (nama yang kekal sehingga kini) PPMS adalah sebuah penempatan bagi golongan miskin yang disebut sebagai KIRT (Ketua Isi Rumah Miskin Tegar). Menyingkap rahsia kewujudannya yang terhasil dari cetusan idea dan inisiatif serta daya usaha Koperasi Sukau Berhad, sebuah pertubuhan dengan 123 keanggotaan dari anak jati Kg Sukau. Bermula dari usahasama antara Koperasi Sukau Berhad (KOSUK) dan Felcra Berhad untuk membangunkan tanah milik Kosuk seluas lebih 1000 ekar dengan tanaman kelapa sawit pada tahun 1998.

Di sinilah titik permulaan idea untuk membangunkan 100 ekar daripada tanah tersebut di bawah Program Penyusunan Semula Kampung (PPSK) yang kemudiannya, dan atas persetujuan setiausaha KKLW ketika itu. Koperasi Sukau memohon agar kawasan tersebut diwujudkan sebagai kawasan PPD (Pusat Pertumbuhan Desa) Kg. Sukau yang menjurus kepada pertumbuhan ekonomi desa dan lebih berdaya saing dengan pengisian 30 ekar, di peruntukkan khusus bagi pembinaan Sekolah Menengah dan Sekolah Kebangsaan dan 70 ekar lagi bagi pembangunan prasarana lain.

Penempatan PPRT berkelompok terbesar di Malaysia iaitu PPMS Kg. sukau, dengan Felcra Berhad selaku agensi pelaksana, berkonsepkan taman perumahan mula di bina pada sekitar tahun 2004 dan siap dibangunkan pada bulan julai 2006. Kawasan ini menempatkan 95 buah rumah kediaman papan (plan PPRT) berukuran 20’ x 28’, sebuah Surau, sebuah Mini Dewan, sebuah bangunan cadangan Taska yang belum beroperasi dan sebuah lagi bangunan 4 lot Kedai 1 tingkat dengan prasarana api letrik, bekalan air bersih serta sistem kemudahan tandas yang boleh dibanggakan. Kemudahan jalanraya yang siap sejak awal tahun 2009 menjadikan kawasan ini menarik dan strategik kepada pembangunan sosioekonomi kampung Sukau.


Di samping pembangunan 123 buah rumah kediaman milik ahli-ahli Koperasi Sukau Berhad yang sedang berjalan rancak di kawasan yang sama (PPD Kg Sukau), dengan plan cadangan tapak pekan baru Sukau (1 km dari sini) sudah pasti amat di harapkan oleh seluruh penduduk Sukau amnya, dan khusunya penduduk PPMS untuk mengubah nasib mereka di masa hadapan walaupun mungkin tidak kaya raya sekurang-kurangnya dapat membolosi kepompong KIRT yang menjadi beban dan tanggungan kepada kerajaan yang tentunya telah menjadi aspirasi kepada pemimpin dan rakyat sejak sekian lama.

PELBAGAI MASA’ALAH YANG DI HADAPI

‘Indah khabar dari rupa` begitulah ungkapan yang dapat di luahkan oleh penduduk PPMS yang kini telah menduduki kediaman ini selama lebih kurang 3 tahun. Tidak pernah terfikir dan terbayang bahawa segala igauan dan mimpi indah bertukar menjadi mimpi-mimpi ngeri.


Berbagai masalah timbul serta berbagai kerumitan dan kesulitan di hadapi setelah menghuni rumah-rumah kediaman ini, sebilangan rumah tidak menepati spesifikasi binaan, pembinaan pembentung najis yang tidak sempurna (melimpah dan mengeluarkan bau busuk), perparitan tidak sempurna menyebabkan takungan air di merata tempat, tiada tempat bagi pembuangan dan pelupusan sampah, masaalah yang paling utama ialah bekalan air yang tidak berfungsi dengan baik, pada masa tertentu penduduk masih lagi turun ke sungai Kinabatangan yang jauhnya melebihi 5 km untuk mandi dan membasuh pakaian serta mengharapkan air hujan untuk minuman dan memasak.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, YB. Saddi Haji Abdul Rahman telah membuat teguran serta arahan kepada pihak berkuasa tempatan agar masaalah kekurangan bekalan air di kawasan ini di tangani segera, namun tiada tindakan yang di ambil sehingga hari ini.




Terkini masaalah perlanggaran syarat menduduki rumah termasuk mengubahsuai bangunan yang tiada kawalan dan berbagai lagi. Beberapa penduduk merungut tidak di beri peluang untuk berniaga di bangunan kedai 4 lot yang di tawarkan kepada bukan warga PPMS, sedangkan ada diantara mereka yang sudah berniaga sejak ujudnya PPMS sebagai satu usaha untuk mengubah nasib dan bagi memenuhi keperluan warga PPMS. Masalah yang sudah berlarutan ini seakan-akan tidak di hiraukan pihak tertentu khususnya Pejabat Daerah dan Majlis Daerah Kinabatangan (MDK).



LOT KEDAI (PENGUBAH SUAIAN TIDAK TERKAWAL MENCACATKAN KECERIAAN)

Seluruh warga PPMS amat keliru, pihak manakah sebenarnya yang bertanggung jawab terhadap kesejahteraan kawasan taman perumahan ini. Siapakah yang sepatutnya mengurus tadbir, mengawal selia, menyelenggara dan menangani masaalah kawasan ini. Adakah masaalah ini harus di pikul sepenuhnya oleh JKKK Kg Sukau yang sentiasa ketandusan dana untuk mengurus tadbir Kg Sukau, atau semestinya diletakkan di bahu penduduk PPMS yang hampir 24 jam sehari mencari sesuap nasi untuk menyara keluarga. Selaku penduduk di sini, saya menyarankan agar pihak berkuasa tempatan (Pejabat Daerah dan MDK) khasnya lebih peka serta prihatin terhadap isu kampung dan rakyat seperti ini. Inisiatif, seterusnya langkah drastik haruslah di ambil untuk menangani masaalah ini.


LOJI RAWATAN AIR TIDAK BERFUNGSI DENGAN SEMPURNA
USAHA PEMIMPIN

Rakyat di sini mengalu-alukan dan amat mengharap dan menghargai usaha YB Datuk Bung Mokhtar Radin memohon dana RM2 juta daripada kerajaan untuk di salurkan ke PPMS bagi tujuan penyelenggaraan dan naik taraf PPMS. Dalam mesej ucapan perasmian beliau pada mesyuarat cawangan umno zon sukau bertempat di dewan serbaguna Kg Sukau yang baru lalu, Ahli Parlimen Kinabatangan ini menyatakan peruntukan ini akan di salurkan melalui KKLW.

Tidak terkecuali, usaha YB Saddi (ADUN Sukau) yang berkerja keras merealisasikan pekan baru Sukau. Ketika rakyat menunggu penuh ghairah dan sabar akan terujudnya Pekan Sukau ini, ada pula segelintir maanusia mengandaikan bahawa “Kg Sukau adalah kampung mati dan Pekan Sukau akhirnya pekan mati”. Usaha murni pemimpin seperti ini seharusnyalah disokong dan di dukung bersama tanpa mengira kaum dan fahaman politik, namun ada pula kalangan kita yang menyalah tafsir dan membuat berbagai anggapan dan andaian negatif seakan satu cubaan untuk menggagalkan usaha pemimpin dan impian rakyat.

Hakikat nya, kita telah memilih kedua pemimpin ini melalui proses demokrasi, dan janganlah ada di kalangan kita membuat onar, mengadu domba, membuat fitnah yang akhirnya akan merugikan rakyat keseluruhanya. Kita jugalah yang telah meletakkan kedua pemimpin ini sebagai pemimpin kita hari ini, dan janganlah kita pula yang menidakkan khidmat dan usaha mereka demi kemajuan dan kesejahteraan rakyat di hari esok.

SUDUT POLITIK UMNO KINABATANGAN

Dalam paparan kali ini saya ingin menyentuh sedikit daripada pergolakan politik khsusnya UMNO Kinabatangan.
Berkisar pada mesyuarat Bahagian UMNO Kinabatangan yang telah di adakan di Dewan Utama ILP (Institiut Latihan Perindustrian) pada 08.08.2009 yang lalu, saya tertarik dengan ucapan ringkas YB Saddi semasa mengumumkan penarikan diri beliau secara hormat dan berdiplomasi daripada bertanding Perwakilan 7 bahagian itu. Dalam ucapan tersebut beliau berkata, penarikan dirinya adalah demi perpaduan kepimpinan dan ahli-ahli UMNO Kinabatangan. Seterusnya beliau menyatakan sokongannya yang teguh dan padu, dan akan memberikan sepenuh kerjasama kepada kepimpinan dan seluruh ahli UMNO Bahagian Kinabatangan walaupun tiada jawatan (Eksekutif) dalam bahagian itu, sambil menyatakan terima kasih yang tiada terhingga kepada cawangan-cawangan yang telah mencalonkannya. Beliau di beri tepukan dan sorakkan gemuruh penuh terharu oleh lebih 500 perwakilan dan ahli-ahli UMNO Kinabatangan.

Terdahulu daripada itu, dalam satu majlis makan malam meraikan para perwakilan di sebuah hotel di pusat Bandar Sandakan yang di anjurkan oleh UPKR N 48 Sukau, Ketua Cawangan UMNO Kg Perpaduan 1 ini dalam ucapannya antara lain beliau berkata, sudah lumrah dalam mana-mana pertandingan ada yang kalah dan ada yang menang, yang menang akan mempertahankan kemenangannya dan yang kalah akan menggunakan haknya menyuarakan ketidak puasan yang di fikirkan perlu. ADUN N 48 Sukau ini merujuk kepada pertandingan merebut kerusi Timbalan Ketua Bahagian pada Persidangan UMNO Bahagian Kinabatangan yang lalu. Tambahnya, hakikat kekalahan telahpun di terima dengan dada terbuka dan kini masa untuk berkerja lebih keras kearah pembangunan dan kemajuan kawasan dan rakyat yang di wakilinya. Sambil itu beliau menyeru kepada lebih 300 perwakilan dan ahli UMNO yang hadir agar lebih berfikiran terbuka untuk memantapkan perpaduan yang sudah sedia terjalin ini dan memastikannya berterusan serta tidak di ganggu gugat oleh mana-mana pihak. Pada majlis itu buat pertama kalinya lagu 1 MALAYSIA di nyanyikan bersama oleh sekalian yang hadir.

Saya juga amat tertarik dengan sesi perbahasan pada mesyuarat bahagian sehari ini, di mana seorang daripada perwakilan dari Kg Sukau mempersoalkan perlantikan Pengerusi JKKK dan Ketua Kampung dalam kawasan DUN Sukau secara am dan mengkhususkan perlantikan Pengerusi JKKK Kg Sukau. Dalam hujjahnya, beliau mempertikaikan perlantikan Pengerusi JKKK/Ketua Kampung yang bukan dari kalangan Ketua Cawangan dan ahli UMNO.

Selaku ahli UMNO dan salah seorang perwakilan, juga selaku penduduk Kg Sukau, saya yakin perwakilan tersebut tidak melihat kepada skop yang lebih luas dan hanya memfokuskan kepada hal-hal yang berkaitan dengan kepentingan pribadi ataupun individu tertentu. Pengerusi JKKK Kg Sukau adalah seorang penyokong Kerajaan, dan dalam kempen pilihan raya lalu beliau banyak membantu bersama seorang mantan Pembantu Menteri dan mantan Adun Sukau. Saya tidak nampak di mana rasionalnya persoalan perwakilan ini.

Mengimbas kembali perlantikan JKKK Kg Sukau hampir setahun yang lalu, saya antara yang menyokong perlantikan ini. Saya melihat, perlantikan ini adalah tepat, sesuai dan di asaskan kepada merit, memandangkan Pengerusi JKKK ini berpengalaman luas dalam pelbagai bidang termasuklah urus tadbir pertubuhan/perniagaan, Pengerusi JKKK dalam Kerajaan terdahulu, bergiat cergas dalam aktiviti kemasyarakatan di peringkat kampung dan daerah, pemimpin belia dan sebagainya. Dari aspek kejayaan, antaranya beliau telah memimpin Koperasi Sukau Berhad ‘start from scratch’ sehingga mencapai kejayaan yang boleh di banggakan oleh ahli-ahli nya hari ini dalam masa beberapa tahun. Reputasi seperti ini harus di lihat secara positif, dari perspektif lain harus di manfaatkan demi kebaikan kampung khususnya Kg Sukau.

Pada hemah saya, untuk memastikan kesinambungan kemajuan dan pembangunan, juga untuk menjamin kelangsungan program-program kerajaan di peringkat kampung, perlantikan Pengerusi JKKK/KK haruslah mengambil kira pelbagai sudut termasuklah Merit seseorang, (asas pendidikan sekurang-kurangnya pernah menduduki peperiksaan SPM dan sedikit pengalaman dalam bidang Pengurusan/Pentadbiran) di samping ciri-ciri lain seperti latar belakang sosial, ekonomi, dan personaliti yang baik. Kriteria ini sangat penting bersesuaian dengan fungsi Pengerusi JKKK/KK sebagai pemimpin peringkat akar umbi dan sebagai pemberi dan penyampai maklumat antara Kerajaan dan Rakyat yang efektif.

Saya amat berharap dan ingin melihat agar suatu hari nanti, satu garis panduan atau kriteria yang sesuai akan di perkenalkan dalam pemilihan kepimpinan peringkat cawangan UMNO Kinabatangan bagi memudahkan perlantikan Pengerusi JKKK dan Ketua Kampung dari kalangan Ketua Cawangan UMNO.

“If we fail to plan, we plan to fail”






No comments:

Post a Comment