ISTILAH ‘ketuanan’ ialah terjemahan daripada dominance dalam bahasa
Inggeris. Jika dominate’ bererti mengenakan pengaruh pengawalan yang
sangat kuat, ‘tuan’ pula - menurut Kamus Dewan - boleh bererti pemilik
abdi atau pemilik apa saja seperti yang boleh difahami daripada
perkataan tuan punya.
Ia juga bererti ketua atau orang berpangkat. Di zaman kolonial
British di negara ini, pegawai British dipanggil tuan. Dalam sesetengah
jabatan kerajaan, seperti Polis, Tentera, Bomba dan Perhutanan, rujukan
kepada ketua tertentu masih kekal dengan ‘tuan’.
Justeru itu, pada keseluruhannya ‘ketuanan’ membawa pengertian
‘pengawalan’, di satu pihak, dan ‘pemilikan’, di pihak yang lain.
Sebenarnya ‘ketuanan Melayu’ telah lama dipakai. Pemakaiannya menjadi
lebih lantang dalam tahun 1987 apabila seorang calon yang bertanding
untuk mendapat tempat dalam Majlis Tertinggi (MT) UMNO tahun itu
menjadikan ‘ketuanan Melayu’ sebagai tema kempennya.
Beliau bukan setakat berkempen di Malaysia. Di Singapura, demi
mendapat kesan media yang baik, beliau juga dapat mengumpulkan satu
audiens untuk mencanangkan konsep itu menerusi bahasa Inggeris, iaitu
Malay Dominance. Malangnya, beliau kandas dalam persaingan MT itu.
Saya percaya tema kempen beliau itu tidak disenangi oleh beberapa
pihak, terutama pihak elit bukan Melayu. Seorang penulis bernama K.Das
(kini mendiang) telah menghasilkan sebuah buku menentang konsep itu.
Disebabkan di kalangan orang Melayu sendiri konsep itu tidak menjadi
sesuatu yang membahangi hati nurani mereka, maka ia dengan sendiri
menjadi dingin.
Ia bertambah dingin apabila bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir
Mohamad sendiri melahirkan reaksi yang mencemek konsep itu. Apa yang
hendak didominasi kalau kita lemah dalam banyak lapangan, kata Dr.
Mahathir. Namun begitu, kini ‘ketuanan Melayu’ menjadi satu gegaran
pula.
Oleh itu suara-suara dan artikulasi yang dipenuhi bahang semangat Melayu didengari secara meluas, tidak kurang
dalam media perdana Melayu. Mana-mana pihak yang mempertikai, atau
menunjukkan tanda-tanda mempertikai konsep ini, mereka nampaknya akan
menjadi sasaran artikulasi yang agresif.
Melihat daripada perspektif yang bebas, artikulasi begitu kini secara
relatif dicetuskan oleh perkembangan politik semasa. Seperti yang
diketahui, politik bererti seni dan sains berkerajaan. Disebabkan oleh
struktur rakyat negara ini mengandungi bangsa dan pelbagai kaum, maka
seni dan sains itu dipercayai boleh mengancam struktur itu, jika
kerajaan persekutuan yang wujud sejak 1955 itu berubah.
Popular
Maka logiknya, mempastikan teguh dan tegapnya ketuanan Melayu di
negara ini adalah sesuatu yang rata-rata popular dan dekat dengan hati
Melayu. Oleh itu sebarang artikulasi yang kontra, seperti yang
ditunjukkan oleh Wan Azizah, Presiden PKR, boleh menarik reaksi
dentingan yang keras.
Membuat jengukan kepada media - perdana dan bukan perdana -
menunjukkan sikap yang berbeza dalam liputan masing-masing. Media
perdana bersikap kritis terhadap beliau, sedangkan media bukan perdana
bersikap sama ada tidak berpihak atau pro Wan Azizah. Inilah indahnya
Malaysia yang mengamalkan demokrasi. Pada asasnya, kedua-duanya
merupakan usaha memujuk rakyat agar memberikan sokongan dan undi dalam
pilihan raya yang akan datang.
Walau apa pun pertimbangannya, kuasa politik dalam sistem demokrasi
tulen mengalir daripada peti undi, tidak seperti inti kata pemimpin
besar komunis, Mao Tse Tung: “Kuasa datangnya dari laras peluru!" Dengan
kata-kata lain, ‘ketuanan Melayu’ harus mengambil kira peti undi kerana
di situlah ketulenan demokrasi Malaysia akan diukur oleh dunia. Kalau
bukan begitu, Malaysia akan mendapat perhatian yang tidak betul
sebabnya.
Alternatif kepada demokrasi peti undi ialah junta seperti di Burma
yang hari-hari terakhirnya sudah tertulis jelas ditembuk-tembuk. Ia
sudah ketinggalan zaman dan bukan menjadi fesyen lagi. Chile, Brazil,
Argentina, Uruguay dan lain-lain lagi di Amerika Selatan, di samping
sesetengah negara Afrika, yang pernah menjadi pengilham kepada Burma
dulu, sudah menjadi demokrasi tulen. Negara-negara itu kini melahirkan
kekesalan kenapa mereka terjerumus ke dalam junta tentera yang
anti-demokrasi.
Saya telah melawat negara China secara rasmi. Kebanyakan pegawai
tingginya bukan ahli parti komunis. Mereka tahu China akan berkerajaan
demokrasi seperti negara-negara Amerika Syarikat, Eropah Barat malah
Rusia, tetapi mahu beredar ke situ secara bertangga-tangga, takut
kalau-kalau China menjadi lumpuh (collapse) seperti yang dialami Rusia
pada awal-awal ia berpindah daripada Soviet Union.
Maka China kini berkerajaan komunis tetapi mengamalkan sistem
demokrasi dalam sebahagian besar kehidupannya, terutama amalan aktiviti
ekonomi yang ditentukan oleh kuasa pasaran. Kalau dulu statistik ekonominya mengandungi angka mereka di garisan
kemiskinan yang sama rata, kini ia bangga dengan jumlah bilionair yang
hanya dikalahkan oleh jumlah bilionair di Amerika Syarikat dan beberapa
buah negara lain.
Bertolak dari itu, China - satu-satunya negara besar komunis yang
masih tinggal - akan memeluk demokrasi peti undi sebagai ketuanan
kuasanya tidak berapa lama lagi. Mereka sudah sedar tidak ada institusi
‘lembu suci’ yang ada sekarang, baik bergelar Pengerusi atau Presiden,
yang boleh mengatasi institusi peti undi.
Disebabkan institusi peti undi menjadi penentu pembentukan kerajaan
di Amerika Syarikat (satu-satunya ‘superpower dunia kini) Rusia, Jepun,
India dan negara-negara besar Eropah Barat, maka sebarang negara yang
cuba memomokkannya, ia akan menjadi sasaran yang menggerunkan, dan akan
berakhir seperti berakhirnya Iraq di bawah Saddam Hussein.
Inilah realiti global atau ‘borderless world kini yang tidak boleh
dielakkan. Orang Yahudi sudah lama mengetahui hakikat ini. Mereka sejak
dulu telah membuktikan dominasi (dominance) mereka di Amerika Syarikat
dengan cara menentukan kemenangan dan corak kerajaan di peti undi.
Itulah sebabnya Benjamin Netanyahu, Perdana Menteri Israel, tidak gentar
dengan amaran Barack Obama.
Dominasi hanya wujud apabila ada pengiktirafan. Seorang yang berada
tidak akan menerima dominasi orang yang tidak berada. Pemain bola dan
badminton yang berbakat tidak akan menerima kepimpinan pemain medioker.
Seorang yang berpendidikan tinggi dan lebih efisien tidak boleh akur
kepada seorang yang kurang daripadanya. Seorang penerima rasuah tidak
dimuliakan oleh pemberi rasuah.
Berdasarkan apa yang digariskan di atas, dengan ‘pengisian’ yang baik dan dihormati, Ketuanan Melayu atau Malay Dominance tidak akan menjadi satu isu nasional. Maka artikulasi yang boleh mengakibatkan polarisasi bangsa dan kaum akan menjadi tidak relevan.
No comments:
Post a Comment