PAPAR: Seorang pelatih wanita Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mela- hirkan bayi di Kem PLKN Ovai, Papar, awal pagi kelmarin. Pelatih
berusia 18 tahun dan berasal dari Keningau itu telah melahirkan bayi
lelaki seberat 2.63kg di dalam tandas kem itu kira-kira jam 2.30 pagi. Lima
orang rakannya yang masuk ke tandas terkejut apabila melihat bayi itu
di atas lantai tandas berlumuran darah bersama ibunya.
Rakan-rakan
pelatih itu kemudian memberi pertolongan kepada ibu dan bayi itu yang
kini sedang menerima rawatan di Hospital Papar dan dalam keadaan baik.
Sepasukan
polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) telah pergi ke Kem Ovai untuk
menjalankan siasatan setelah dimaklumkan tentang kejadian pada jam 5
pagi. Pelatih itu merupakan salah seorang pelatih PLKN
Kumpulan 2, Siri 7, 2010, yang dihantar menjalani latihan di kem itu
bermula 27 Mac tahun ini dan akan menamatkan latihan pada 12 Jun.
Siasatan mendapati pelatih berkenaan telah mengadakan hubungan seks dengan teman lelakinya sebelum menyertai program di kem itu. Ketua Polis Daerah (KPD) DSP
Nik Zaidi Nik Zakaria yang mengesahkan kejadian ketika dihubungi oleh
New Sabah Times kelmarin, berkata, pelatih itu memberitahu polis dia
mengadakan hubungan seks dengan teman lelakinya juga berasal dari
Keningau atas kerelaannya sendiri. Nik Zaidi berkata polis akan menghu- bungi teman lelaki pelatih itu untuk hadir ke IPD Papar bagi tujuan membantu siasatan.
Berikutan kejadian itu, Nik Zaidi mencadangkan agensi yang terlibat dengan pengambilan pelatih PLKN supaya menjalankan ujian air kencing ke atas semua calon wanita yang dipanggil untuk menyertai PLKN dan memastikan mereka (pelatih wanita) tidak hamil. Beliau berkata ujian sedemikian perlu bagi menghalang kejadian yang tidak diingini berlaku. “Semua
pelatih akan menjalani pelbagai latihan termasuk beberapa latihan lasak
dan latihan menembak, kemungkinan pelatih yang tidak diketahui hamil
semasa mengikuti latihan ini akan mengalami kecederaan serius dan
memudaratkan nyawa bayi dalam kandungannya,” kata Nik Zaidi. Menjawab
soalan, Nik Zaidi berkata setakat ini polis belum ada cadangan
mengambil tindakan ke atas pelatih tersebut memandangkan dia (pelatih)
tidak ada niat mahu mencederakan atau membuang bayinya.
No comments:
Post a Comment