LAMAN web sosial sepatutnya bermatlamat menambah kenalan di samping
mudah berhubung serta menghimpunkan sahabat yang dipisahkan oleh
kedudukan geografi. Namun, pelbagai salah faham serta kejadian buruk
membabitkan laman sosial itu terutama Facebook sejak kebelakangan ini
sedikit sebanyak mencalarkan kredibilitinya sebagai wadah penghubung
nombor satu dunia.
Penipuan, tohmahan dan kata-kata hasutan bertujuan menggugat ketenteraan
awam, skandal seks dan perbuatan menjatuhkan imej seseorang antara isi
kandungan Facebook yang perlu diberi perhatian dan dinilai semula
Pelayar setia laman web itu yang juga seorang pelajar, Syafika Mohd
Ghazi, 20, mengaku taksub dengan Facebook sehingga kerugian kira-kira
RM2,000 akibat ditipu kenalan laman web sosial.
“Saya terbaca pengumuman seorang kenalan menawarkan kamera profesional dengan harga sangat murah. Tertarik dengan sebut harga ditawarkan, saya menghubunginya menyatakan minat untuk membeli.
“Namun, seminggu selepas membayar menerusi akaun, kamera berkenaan
masih tidak nampak bayang. Saya cuba menghubunginya bagi maklumat lanjut
tetapi malang, bukan saja nombor telefon diberikan tidak wujud, malah
akaun Facebooknya juga sudah ditutup,” katanya yang menggunakan
sebahagian wang simpanan bekerja separuh masa semata-mata mendapatkan
kamera berkenaan.
Syafika berkata, kejadian yang berlaku kira-kira lima bulan lalu
membuatkan beliau serik membuat pembelian menerusi laman web, selain
sukar menaruh kepercayaan kepada sebarang pengumuman dibuat melalui
laman itu.
“Sepatutnya kejadian ditipu tidak berlaku kerana orang terbabit
ialah ahli kelab fotografi Facebook. Difahamkan, majoriti ahlinya
mempunyai ikatan persahabatan kukuh kerana dijalin atas dasar
kepercayaan juga berkongsi hobi sama. Tidak sangka pula ada yang
mengambil kesempatan memperdayakan orang lain,” katanya yang enggan
membuat laporan polis kerana menganggap perkara itu berlaku atas
kecuaian peribadi.
Penulis, Mohd Faisal Md Noor, 25, dihujani pelbagai panggilan yang
menawarkan pakej pinjaman wang serta pelancongan selepas menghantar
resume jawatan wartawan dan pembaca berita TV3 seperti diiklankan di
laman Facebook. Mohd Faisal berkata, pada mulanya beliau musykil kerana resume itu
perlu dihantar ke e-mel peribadi, namun dia mengambil keputusan mencuba
kerana menyukai bidang kerjaya ditawarkan.
“Selepas tiga hari mengirim resume, saya menerima beberapa panggilan
daripada syarikat kewangan. Tidak sedap hati, saya membaca semula iklan
jawatan kosong berkenaan namun terkejut dengan komen susulan ditulis
bekas kakitangan syarikat televisyen itu menyatakan pihak TV3 tidak
pernah menggunakan e-mel peribadi dalam sebarang urusan syarikat.
“Saya syak ada sindiket cuba menjual maklumat peribadi kepada
syarikat tertentu dan Facebook antara cara paling mudah, pantas dan
berkesan,” ujarnya menceritakan pengalaman diperdaya melalui Facebook
dua minggu lalu.
Seorang kakitangan universiti tempatan, Noor Eszreen Juferi, 29,
menghadapi dilema melayan mesej atau salam perkenalan daripada individu
tidak dikenali selepas berbelas pesanan lucah dihantar ke kotak
mesejnya.
“Saya tidak sangka seorang kenalan di Facebook tergamak mengeluarkan
kata-kata lucah serta menawarkan perkhidmatan seks percuma kepada saya.
Saya akui tidak berapa mengenalinya tetapi sudi berkenalan atas dasar
percaya, ditambah individu terbabit turut tersenarai antara barisan
kenalan kawan lama saya,” katanya.
Noor Eszreen berkata, biarpun nama lelaki itu sudah dibuang daripada
senarai kenalannya, beliau berterusan diganggu. Bahkan, bagi mengelak
dikenal pasti, lelaki itu cuba berkomunikasi dengannya menggunakan akaun
yang didaftarkan dengan pelbagai nama.
“Selepas memutuskan persahabatan, bertalu-talu mesej perkenalan
singgah di Facebook saya. Sungguhpun, menggunakan nama berbeza saya
dapat mengecamnya melalui gambar dan lenggok bahasanya. Mujur saya tidak
sempat bertukar nombor telefon dengannya, kalau tidak tentu lebih teruk
saya diganggu.
“Justeru, saya nasihatkan pengguna Facebook lebih berhati-hati
meletakkan butiran peribadi dalam akaun mereka. Begitu juga ketika
menyambut salam perkenalan, jangan mudah percayakan gambar dan maklumat
diri disertakan kerana semua itu boleh dipalsukan,” katanya.
Mengenai kemunculan awal Facebook, Pensyarah Fakulti Bahasa Moden
dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Syed Agil Alsagoff, berkata
laman web sosial berkenaan diilhamkan McLuhan sekitar 1970 bertujuan
mendekatkan talian persahabatan yang dipisahkan jarak tempat.
Begitupun, pada hari ini, Facebook tidak dilihat memberi manfaat
sebaliknya dianggap mengancam keselamatan awam. Kenyataan ini dibuat
berpandukan beberapa kejadian buruk akhir-akhir ini membabitkan
sensitiviti kaum, pencerobohan hak asasi dan ancaman keselamatan negara.
Syed Agil berkata, peralihan fungsi Facebook daripada laman
interaktif mengerat dan membina persahabatan baru kepada luahan perasaan
serta pandangan peribadi mungkin menjadi penyebab utama kepincangan
sosial berlaku.
“Facebook kini boleh disamakan dengan diari siber yang bukan saja
mengutarakan luahan perasaan tetapi medan menarik sokongan serta
perhatian umum menerusi paparan tulisan. Seperti media berfungsi sebagai
ejen pemberi maklumat, Facebook juga boleh mempengaruhi fikiran awam
melalui ideologi diterapkan,” katanya.
Meskipun belum mampu menandingi kredibiliti media perdana, Facebook
berjaya mengumpul populariti berasaskan hak kebebasan bersuara
ditawarkan.
“Facebook menjadi simbol pemangkin mempercepatkan lagi kebebasan
bersuara. Sebarang isu dan topik boleh dibangkitkan tetapi menjadi
tanggungjawab khalayak pengguna untuk menilai, menyaring seterusnya
menentukan maklumat diterima baik atau sebaliknya,” katanya sambil
menambah pengaruh Facebook semakin popular berikutan syarikat
telekomunikasi dan pengeluar telefon bimbit memuatkan aplikasi itu
sebagai daya tarikan utama produk mereka.
“Disebabkan kandungan Facebook bersifat santai, ramai yang leka
serta mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga. Masa lapang yang
sepatutnya dikhaskan bagi aktiviti keluarga tidak dimanfaatkan,
sebaliknya baik suami mahupun isteri leka melayan sahabat alam maya
itu,” katanya.
Gaya bahasa santai di samping isu ringan menjadi topik perbualan
mungkin faktor utama Facebook tersenarai laman web paling kerap dilayari
sehingga ada yang mengabaikan keselamatan diri serta keluarga.
Justeru, pengguna laman interaktif yang ada ketika ini termasuk
Twitter, MySpace dan Friendster dinasihatkan tidak terlalu mendedahkan
maklumat peribadi, bijak menyaring isi kandungan baik dan buruk, selain
jangan mudah terpengaruh dengan sebarang kenyataan dan iklan yang
disiarkan di laman itu.
Sumber Berita Harian April 18, 2010
No comments:
Post a Comment