KUALA LUMPUR: Hanya kerana mahu mengelak
ditangkap berkhalwat, seorang pemuda terbunuh selepas terjatuh dari rumah sewa
teman wanitanya di tingkat lima Apartmen Jelutong, Selayang Heights, di sini
awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 1.40 pagi itu, mangsa yang
berusia 21 tahun dan masih menuntut di Kolej Kouniti Selayang dikatakan cuba
mengelak ditahan dengan melarikan diri melalui tingkap sebaik pintu rumah
diketuk sepasukan pegawai pencegah maksiat dari Jabatan Agama Islam Selangor
(Jais). Bagaimanapun, pemuda itu dipercayai tergelincir ketika cuba meniti tembok
luar bangunan yang licin sebelum terjatuh dan mayatnya ditemui terperosok dalam
longkang di tingkat bawah pangsapuri berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan
Rosly Hassan, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan pelajar
terbabit mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa
bahagian badan.
“Berdasarkan keterangan pegawai (Jais) terbabit,
mereka melakukan serbuan ke rumah itu selepas mendapat maklumat ada aktiviti
maksiat di situ. Bagaimanapun, ketika mengetuk pintu rumah berkenaan, mereka
terdengar bunyi seperti objek jatuh.
“Pintu kemudian dibuka seorang gadis Melayu,
dipercayai teman wanita mangsa dan didapati tingkap rumah itu terbuka. Curiga
dengan keadaan itu, pegawai terbabit memeriksa ke luar tingkap dan mendapati
ada seorang lelaki terperosok dalam longkang,” katanya.
Hasil siasatan polis mendapati tiada unsur
jenayah dalam kes berkenaan yang diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Mayat
mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat dan sudah dituntut
warisnya untuk dikebumikan. Katanya, teman wanita mangsa yang turut menuntut di
kolej sama kini ditahan oleh Jais untuk siasatan.
Sumber Berita
Harian April 25, 2010
No comments:
Post a Comment