Thursday, August 27, 2009

KENALI……. PPMS (PROGRAM PEMBANGUNAN MASYARAKAT SETEMPAT) DI KAWASAN PPD (PUSAT PERTUMBUHAN DESA) KG. SUKAU HILIR KINABATANGAN



Taman Perumahan - PROGRAM PEMBANGUNAN MASYARAKAT SETEMPAT (PPMS) KG. SUKAU


PENGENALAN DAN RINGKASAN SEJARAH KEWUJUDANNYA

Program Pembangunan Masyarakat Setempat atau singkatannya (nama yang kekal sehingga kini) PPMS adalah sebuah penempatan bagi golongan miskin yang disebut sebagai KIRT (Ketua Isi Rumah Miskin Tegar). Menyingkap rahsia kewujudannya yang terhasil dari cetusan idea dan inisiatif serta daya usaha Koperasi Sukau Berhad, sebuah pertubuhan dengan 123 keanggotaan dari anak jati Kg Sukau. Bermula dari usahasama antara Koperasi Sukau Berhad (KOSUK) dan Felcra Berhad untuk membangunkan tanah milik Kosuk seluas lebih 1000 ekar dengan tanaman kelapa sawit pada tahun 1998.

Di sinilah titik permulaan idea untuk membangunkan 100 ekar daripada tanah tersebut di bawah Program Penyusunan Semula Kampung (PPSK) yang kemudiannya, dan atas persetujuan setiausaha KKLW ketika itu. Koperasi Sukau memohon agar kawasan tersebut diwujudkan sebagai kawasan PPD (Pusat Pertumbuhan Desa) Kg. Sukau yang menjurus kepada pertumbuhan ekonomi desa dan lebih berdaya saing dengan pengisian 30 ekar, di peruntukkan khusus bagi pembinaan Sekolah Menengah dan Sekolah Kebangsaan dan 70 ekar lagi bagi pembangunan prasarana lain.

Penempatan PPRT berkelompok terbesar di Malaysia iaitu PPMS Kg. sukau, dengan Felcra Berhad selaku agensi pelaksana, berkonsepkan taman perumahan mula di bina pada sekitar tahun 2004 dan siap dibangunkan pada bulan julai 2006. Kawasan ini menempatkan 95 buah rumah kediaman papan (plan PPRT) berukuran 20’ x 28’, sebuah Surau, sebuah Mini Dewan, sebuah bangunan cadangan Taska yang belum beroperasi dan sebuah lagi bangunan 4 lot Kedai 1 tingkat dengan prasarana api letrik, bekalan air bersih serta sistem kemudahan tandas yang boleh dibanggakan. Kemudahan jalanraya yang siap sejak awal tahun 2009 menjadikan kawasan ini menarik dan strategik kepada pembangunan sosioekonomi kampung Sukau.