Friday, July 3, 2009

Isu Jalan Sekangkang Kera




Sebagai rakyat dan sebagai penduduk yang tinggal di Kg Sukau kita amat berbangga dengan termetrai sepenuhnya jalan sukau pada awal tahun 2009. Jalan raya sejauh 52 km itu mula dibina pada sekitar tahun 1980, menelan belanja puluhan juta ringgit sememangnya memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat disekitarnya, khasnya Mukim Suan Lamba dan Mukim Sukau. Bayangkan kalau sebelumnya (selama lebih 20 tahun lalu) kita mengambil masa selama 4 jam untuk sampai kebandar Sandakan dengan jalan raya yang berbatu, berlobang dan berlumpur sekarang kurang dari 2 jam dengan kelajuan yang sederhana.


Pendek kata segala yang dirancang oleh kerajaan berjalan lancar dengan terlaksananya kemudahan prasarana yang amat baik ini. Masyarakat disebelah sini kini sudah mula menukar kenderaan lama mereka kepada yang baru dan tidak kurang juga yang baru membeli sebagai satu keperluan dan keselesaan dalam menjalankan aktiviti harian mereka.


Tidak dapat dinafikan, yang mendapat manfaat lebih besar daripada kemudahan ini ialah syarikat-syarikat gergasi (kebanyakkannya bukan syarikat tempatan) yang mengusahakan ratusan ribu hektar ladang kelapa sawit menggunakan kenderaan-kenderaan berat melalui jalan raya ini sebagai laluan utama bagi aktiviti perniagaan mereka.