Thursday, August 27, 2009

KENALI……. PPMS (PROGRAM PEMBANGUNAN MASYARAKAT SETEMPAT) DI KAWASAN PPD (PUSAT PERTUMBUHAN DESA) KG. SUKAU HILIR KINABATANGAN



Taman Perumahan - PROGRAM PEMBANGUNAN MASYARAKAT SETEMPAT (PPMS) KG. SUKAU


PENGENALAN DAN RINGKASAN SEJARAH KEWUJUDANNYA

Program Pembangunan Masyarakat Setempat atau singkatannya (nama yang kekal sehingga kini) PPMS adalah sebuah penempatan bagi golongan miskin yang disebut sebagai KIRT (Ketua Isi Rumah Miskin Tegar). Menyingkap rahsia kewujudannya yang terhasil dari cetusan idea dan inisiatif serta daya usaha Koperasi Sukau Berhad, sebuah pertubuhan dengan 123 keanggotaan dari anak jati Kg Sukau. Bermula dari usahasama antara Koperasi Sukau Berhad (KOSUK) dan Felcra Berhad untuk membangunkan tanah milik Kosuk seluas lebih 1000 ekar dengan tanaman kelapa sawit pada tahun 1998.

Di sinilah titik permulaan idea untuk membangunkan 100 ekar daripada tanah tersebut di bawah Program Penyusunan Semula Kampung (PPSK) yang kemudiannya, dan atas persetujuan setiausaha KKLW ketika itu. Koperasi Sukau memohon agar kawasan tersebut diwujudkan sebagai kawasan PPD (Pusat Pertumbuhan Desa) Kg. Sukau yang menjurus kepada pertumbuhan ekonomi desa dan lebih berdaya saing dengan pengisian 30 ekar, di peruntukkan khusus bagi pembinaan Sekolah Menengah dan Sekolah Kebangsaan dan 70 ekar lagi bagi pembangunan prasarana lain.

Penempatan PPRT berkelompok terbesar di Malaysia iaitu PPMS Kg. sukau, dengan Felcra Berhad selaku agensi pelaksana, berkonsepkan taman perumahan mula di bina pada sekitar tahun 2004 dan siap dibangunkan pada bulan julai 2006. Kawasan ini menempatkan 95 buah rumah kediaman papan (plan PPRT) berukuran 20’ x 28’, sebuah Surau, sebuah Mini Dewan, sebuah bangunan cadangan Taska yang belum beroperasi dan sebuah lagi bangunan 4 lot Kedai 1 tingkat dengan prasarana api letrik, bekalan air bersih serta sistem kemudahan tandas yang boleh dibanggakan. Kemudahan jalanraya yang siap sejak awal tahun 2009 menjadikan kawasan ini menarik dan strategik kepada pembangunan sosioekonomi kampung Sukau.


Friday, July 3, 2009

Isu Jalan Sekangkang Kera




Sebagai rakyat dan sebagai penduduk yang tinggal di Kg Sukau kita amat berbangga dengan termetrai sepenuhnya jalan sukau pada awal tahun 2009. Jalan raya sejauh 52 km itu mula dibina pada sekitar tahun 1980, menelan belanja puluhan juta ringgit sememangnya memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat disekitarnya, khasnya Mukim Suan Lamba dan Mukim Sukau. Bayangkan kalau sebelumnya (selama lebih 20 tahun lalu) kita mengambil masa selama 4 jam untuk sampai kebandar Sandakan dengan jalan raya yang berbatu, berlobang dan berlumpur sekarang kurang dari 2 jam dengan kelajuan yang sederhana.


Pendek kata segala yang dirancang oleh kerajaan berjalan lancar dengan terlaksananya kemudahan prasarana yang amat baik ini. Masyarakat disebelah sini kini sudah mula menukar kenderaan lama mereka kepada yang baru dan tidak kurang juga yang baru membeli sebagai satu keperluan dan keselesaan dalam menjalankan aktiviti harian mereka.


Tidak dapat dinafikan, yang mendapat manfaat lebih besar daripada kemudahan ini ialah syarikat-syarikat gergasi (kebanyakkannya bukan syarikat tempatan) yang mengusahakan ratusan ribu hektar ladang kelapa sawit menggunakan kenderaan-kenderaan berat melalui jalan raya ini sebagai laluan utama bagi aktiviti perniagaan mereka.


Saturday, June 20, 2009

Pelancaran Laman Blog Adun N48 Sukau



Pada mulanya saya sememangnya bercadang untuk membina laman blog yang berkonsepkan kerakyatan (laman blog rakyat) dan mengambil sedikit bahan daripada perkembangan politik semasa khasnya dikawasan DUN N 48 Sukau. Namun, setelah mendapat tawaran daripada penganjur (Pusat Jalur Lebar Komuniti PJK) pertandingan membina laman blog kreatif peringkat DUN N 48 Sukau untuk turut serta mewakili Kg Sukau sempena majlis pelancaran laman blog ADUN N48 Sukau (http://www.adun48sukau.blogspot.com) yang telah dianjurkan oleh UPKR N 48 Sukau, saya telah menyertai pertandingan tersebut dengan membawakan konsep pelancongan (diantara 4 kategori yang dipertandingkan –Pelancongan, Pembangunan, Sosio Ekonomi dan Kebudayaan). Alhamdulillah, rezeki berpihak kepada saya, laman blog www.onesukau.blogspot.com/ telah dinobatkan sebagai juara mengalahkan 5 pencabar lain yang telah dihakimi oleh pegawai-pegawai dari TM.



Sunday, June 7, 2009

Kearah Era Baru Penjanaan Eko-Pelancongan Sukau

(Disebalik misi dan visi Saddi Hj Abdul Rahman)

video

ANTARA MISI, VISI DAN REALITI. Itulah disebalik idealisma dan momentum awal akan impak satu pengujudan Pekan Baru Sukau

Lagenda Kinabatangan

Adalah dipercayai bahawa Laksamana Cheng Ho pernah menyusuri sungai Kinabatangan pada awal kurun ke 15, untuk memperolehi sarang burung yang mudah ditemui di Kinabatangan. Mengikut sumber “Buku Sejarah Tanah Air’ pula Kinabatangan pernah dikunjungi kerabat Maharaja China pada awal kurun ke 16. Beberapa tempat seperti Sukau, Bilit dan Mumiang dikatakan berasal dari Bahasa Cina.


Legenda Kinabatangan menyebut tentang sekumpulan orang Cina yang menyusuri kuala sungai menggunakan batang-batang kayu balak. Kosa kata ‘Cina’dan ‘Batang’ ini telah mencetuskan sebutan ‘Cinabatangan’ yang merupakan nama asal daerah ini. Syarikat Berpiagam Borneo Utara telah menggantikan sebutan ini kepada Kinabatangan.


Sungai Kinabatangan yang mengalir sepanjang 560 km merupakan sungai yang terpanjang di Sabah. Sungai ini menjadi sumber rezeki utama suku kaum Sungai, suku kaum majoriti di daerah ini. Mereka turut mengenali Kinabatangan sebagai ’Tawoi Marato’ yang bermaksud ‘sungai yang panjang’ dalam bahasa Idahan. Kaum Dusun yang tinggal di Ulu Kinabatangan mengenali Sungai Kinabatangan sebagai ’Sungai Millian’.