Friday, July 3, 2009

Isu Jalan Sekangkang Kera




Sebagai rakyat dan sebagai penduduk yang tinggal di Kg Sukau kita amat berbangga dengan termetrai sepenuhnya jalan sukau pada awal tahun 2009. Jalan raya sejauh 52 km itu mula dibina pada sekitar tahun 1980, menelan belanja puluhan juta ringgit sememangnya memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat disekitarnya, khasnya Mukim Suan Lamba dan Mukim Sukau. Bayangkan kalau sebelumnya (selama lebih 20 tahun lalu) kita mengambil masa selama 4 jam untuk sampai kebandar Sandakan dengan jalan raya yang berbatu, berlobang dan berlumpur sekarang kurang dari 2 jam dengan kelajuan yang sederhana.


Pendek kata segala yang dirancang oleh kerajaan berjalan lancar dengan terlaksananya kemudahan prasarana yang amat baik ini. Masyarakat disebelah sini kini sudah mula menukar kenderaan lama mereka kepada yang baru dan tidak kurang juga yang baru membeli sebagai satu keperluan dan keselesaan dalam menjalankan aktiviti harian mereka.


Tidak dapat dinafikan, yang mendapat manfaat lebih besar daripada kemudahan ini ialah syarikat-syarikat gergasi (kebanyakkannya bukan syarikat tempatan) yang mengusahakan ratusan ribu hektar ladang kelapa sawit menggunakan kenderaan-kenderaan berat melalui jalan raya ini sebagai laluan utama bagi aktiviti perniagaan mereka.


Apa yang ingin diutarakan disini ialah sedikit kecacatan dipenghujung jalan sukau (ketika memasuki pusat Kg Sukau). Kira-kira 300 meter daripada jalan ini tidak disiapkan oleh pihak kontraktor disebabkan pembinaan jalan ini melintasi sebidang tanah milik seorang penduduk kampung. Difahamkan pemilik tanah tersebut menuntut sejumlah pampasan yang tidak dapat dipenuhi oleh pihak kontraktor mengakibatkan jalan ini terbiar begitu sahaja. Berbagai langkah dan usaha teleh diambil oleh pihak-pihak tertentu bagi menyelesaikan perkara ini namun tidak mendatangkan hasil. Kita melihat, kajian haruslah dibuat dan alternatif lain yang lebih praktikal haruslah diambil, sebagai contoh; melencongkan jalan tersebut dipinggir hutan simpan Keruak yang terletak hanya bersebelahan. Dalam soal ini siapakah yang harus dipertanggungjawabkan, adakah pemilik tanah yang bergantung hidup pada tanah tersebut harus dipersalahkan, atau adakah pihak kontraktor, atau JKR yang dibawah naungan kerajaan persekutuan.


Apa pun, dan tidak dapat tidak masaalah ini mesti diselesaikan dengan cara yang lebih bijaksana dan segera, harus ada kompromi dari semua pihak ‘umpama menarik rambut dalam tepung`. Jalan raya ini amat bermakna kepada sektor pelancongan khususnya eko pelancongan di Kg Sukau. Ia adalah laluan utama pelancong antara bangsa menuju destinasi yang dikenali sebagai “Kinabatangan Flood Plain” atau “Lower Kinabatangan Wetland” juga yang lebih dikenali sebagai “Sukau” yang begitu sinonim dengan para pelancong, dan kini tersohor dimerata dunia.


Senario ini (kecacatan yang sedikit ini) menggambarkan kelemahan, ketidakcekapan pengurusan dan pentadbiran beberapa pihak dan kerajaan amnya. Jika tidak ditangani dengan segera dikhuatiri akan menjejaskan industri ini. Kesan nya akan dirasai terutamanya oleh operator dan pengusaha industri pelancongan disini begitu juga dengan penduduk tempatan yang terlibat secara langsung atau tidak langsung, yang bergantung kepada industri ini sebagai sumber pendapatan.


Kita mahu melihat pelancong pulang ketanah air mereka dengan membawa bersama kenangan-kenangan manis dan indah dari sukau dan bukannya satu gambaran negatif yang akan menjadi penghalang kepada pelancong lain untuk datang.

No comments:

Post a Comment