Friday, December 17, 2010

Pemimpin masyarakat diminta pantau aktiviti perjudian di kampung

MENUMBOK: Pemimpin masyarakat diminta supaya terus memantau dan mengawasi supaya tidak ada aktiviti perjudian di kampung di bawah jagaan masing-masing kerana ia dikhuatiri akan menular dan menjadi ikut-ikutan kepada generasi muda.

“Jika ada berlaku mereka perlu menegur dan menasihatkan supaya permainan judi itu dihentikan sekalipun ketika majlis keramaian seperti majlis perkahwinan atau malam berjaga-jaga (ketika berlaku kematian),” kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia Datuk Lajim Hj Ukin.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Perjumpaan bersama Pemimpin Masyarakat Daerah Kecil Menumbok yang diadakan di Pejabat Daerah Kecil Menumbok pada Rabu. “Bermain judi sama ada pada majlis-majlis keramaian seperti majlis perkahwinan atau sebagainya termasuk hari-hari biasa bukanlah budaya kita, oleh itu jangan jadikan judi itu sebagai trend untuk dibudayakan kerana kita bimbang ia akan menular kepada generasi muda,” katanya.

Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata beliau telah menerima laporan daripada berbagai pihak termasuk pemimpin masyarakat dan orang ramai mengenai adanya segelintir pihak menganjurkan aktiviti perjudian seperti pakau dan katam-katam di majlis-majlis perkahwinan atau malam berjaga-jaga.

“Saya juga telah difahamkan bahawa pihak Polis telah melakukan beberapa tangkapan di beberapa tempat termasuk sekitar Pekan Beaufort terutama mereka yang menganjur aktiviti perjudian dan bermain judi,” katanya. Beliau berkata polis juga sentiasa memantau keadaan itu.

Lajim meminta ketua-ketua kampung, JKKK dan juga pemimpin masyarakat hendaklah memberikan nasihat jika melihat depan mata berlakunya aktiviti perjudian sedemikian dan jika nasihat sudah diberikan tetapi tidak juga diendahkan maka hendaklah melaporkan perkara itu kepada Polis.

Majlis perjumpaan itu turut dihadiri Wakil Rakyat Dun Kuala Penyu John Teo Mau Seng, Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri Isnin Aliasnih yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian, dan Naibnya Datuk Kimjus Duim, Pegawai Daerah Edmund Teo serta Pengerusi Mayang Parlimen Beaufort Hajah Johair Matlani,Ketua-ketua Daerah, ketua kampung pengerusi JKKK dan wakil-wakil Ketua Anak Negeri.

Sumber NewSabahTimes 17 Dis 2010

No comments:

Post a Comment