Sunday, April 18, 2010

Facebook mudah jadi jerat kes tipu






LAMAN web sosial sepatutnya bermatlamat menambah kenalan di samping mudah berhubung serta menghimpunkan sahabat yang dipisahkan oleh kedudukan geografi. Namun, pelbagai salah faham serta kejadian buruk membabitkan laman sosial itu terutama Facebook sejak kebelakangan ini sedikit sebanyak mencalarkan kredibilitinya sebagai wadah penghubung nombor satu dunia.

Penipuan, tohmahan dan kata-kata hasutan bertujuan menggugat ketenteraan awam, skandal seks dan perbuatan menjatuhkan imej seseorang antara isi kandungan Facebook yang perlu diberi perhatian dan dinilai semula

Pelayar setia laman web itu yang juga seorang pelajar, Syafika Mohd Ghazi, 20, mengaku taksub dengan Facebook sehingga kerugian kira-kira RM2,000 akibat ditipu kenalan laman web sosial.



“Saya terbaca pengumuman seorang kenalan menawarkan kamera profesional dengan harga sangat murah. Tertarik dengan sebut harga ditawarkan, saya menghubunginya menyatakan minat untuk membeli.


“Namun, seminggu selepas membayar menerusi akaun, kamera berkenaan masih tidak nampak bayang. Saya cuba menghubunginya bagi maklumat lanjut tetapi malang, bukan saja nombor telefon diberikan tidak wujud, malah akaun Facebooknya juga sudah ditutup,” katanya yang menggunakan sebahagian wang simpanan bekerja separuh masa semata-mata mendapatkan kamera berkenaan.


Syafika berkata, kejadian yang berlaku kira-kira lima bulan lalu membuatkan beliau serik membuat pembelian menerusi laman web, selain sukar menaruh kepercayaan kepada sebarang pengumuman dibuat melalui laman itu. “Sepatutnya kejadian ditipu tidak berlaku kerana orang terbabit ialah ahli kelab fotografi Facebook. Difahamkan, majoriti ahlinya mempunyai ikatan persahabatan kukuh kerana dijalin atas dasar kepercayaan juga berkongsi hobi sama. Tidak sangka pula ada yang mengambil kesempatan memperdayakan orang lain,” katanya yang enggan membuat laporan polis kerana menganggap perkara itu berlaku atas kecuaian peribadi.


Penulis, Mohd Faisal Md Noor, 25, dihujani pelbagai panggilan yang menawarkan pakej pinjaman wang serta pelancongan selepas menghantar resume jawatan wartawan dan pembaca berita TV3 seperti diiklankan di laman Facebook. Mohd Faisal berkata, pada mulanya beliau musykil kerana resume itu perlu dihantar ke e-mel peribadi, namun dia mengambil keputusan mencuba kerana menyukai bidang kerjaya ditawarkan.


“Selepas tiga hari mengirim resume, saya menerima beberapa panggilan daripada syarikat kewangan. Tidak sedap hati, saya membaca semula iklan jawatan kosong berkenaan namun terkejut dengan komen susulan ditulis bekas kakitangan syarikat televisyen itu menyatakan pihak TV3 tidak pernah menggunakan e-mel peribadi dalam sebarang urusan syarikat.


“Saya syak ada sindiket cuba menjual maklumat peribadi kepada syarikat tertentu dan Facebook antara cara paling mudah, pantas dan berkesan,” ujarnya menceritakan pengalaman diperdaya melalui Facebook dua minggu lalu.


Seorang kakitangan universiti tempatan, Noor Eszreen Juferi, 29, menghadapi dilema melayan mesej atau salam perkenalan daripada individu tidak dikenali selepas berbelas pesanan lucah dihantar ke kotak mesejnya.


“Saya tidak sangka seorang kenalan di Facebook tergamak mengeluarkan kata-kata lucah serta menawarkan perkhidmatan seks percuma kepada saya. Saya akui tidak berapa mengenalinya tetapi sudi berkenalan atas dasar percaya, ditambah individu terbabit turut tersenarai antara barisan kenalan kawan lama saya,” katanya.


Noor Eszreen berkata, biarpun nama lelaki itu sudah dibuang daripada senarai kenalannya, beliau berterusan diganggu. Bahkan, bagi mengelak dikenal pasti, lelaki itu cuba berkomunikasi dengannya menggunakan akaun yang didaftarkan dengan pelbagai nama.


“Selepas memutuskan persahabatan, bertalu-talu mesej perkenalan singgah di Facebook saya. Sungguhpun, menggunakan nama berbeza saya dapat mengecamnya melalui gambar dan lenggok bahasanya. Mujur saya tidak sempat bertukar nombor telefon dengannya, kalau tidak tentu lebih teruk saya diganggu.


“Justeru, saya nasihatkan pengguna Facebook lebih berhati-hati meletakkan butiran peribadi dalam akaun mereka. Begitu juga ketika menyambut salam perkenalan, jangan mudah percayakan gambar dan maklumat diri disertakan kerana semua itu boleh dipalsukan,” katanya.


Mengenai kemunculan awal Facebook, Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Syed Agil Alsagoff, berkata laman web sosial berkenaan diilhamkan McLuhan sekitar 1970 bertujuan mendekatkan talian persahabatan yang dipisahkan jarak tempat.


Begitupun, pada hari ini, Facebook tidak dilihat memberi manfaat sebaliknya dianggap mengancam keselamatan awam. Kenyataan ini dibuat berpandukan beberapa kejadian buruk akhir-akhir ini membabitkan sensitiviti kaum, pencerobohan hak asasi dan ancaman keselamatan negara.


Syed Agil berkata, peralihan fungsi Facebook daripada laman interaktif mengerat dan membina persahabatan baru kepada luahan perasaan serta pandangan peribadi mungkin menjadi penyebab utama kepincangan sosial berlaku.


“Facebook kini boleh disamakan dengan diari siber yang bukan saja mengutarakan luahan perasaan tetapi medan menarik sokongan serta perhatian umum menerusi paparan tulisan. Seperti media berfungsi sebagai ejen pemberi maklumat, Facebook juga boleh mempengaruhi fikiran awam melalui ideologi diterapkan,” katanya. Meskipun belum mampu menandingi kredibiliti media perdana, Facebook berjaya mengumpul populariti berasaskan hak kebebasan bersuara ditawarkan.


“Facebook menjadi simbol pemangkin mempercepatkan lagi kebebasan bersuara. Sebarang isu dan topik boleh dibangkitkan tetapi menjadi tanggungjawab khalayak pengguna untuk menilai, menyaring seterusnya menentukan maklumat diterima baik atau sebaliknya,” katanya sambil menambah pengaruh Facebook semakin popular berikutan syarikat telekomunikasi dan pengeluar telefon bimbit memuatkan aplikasi itu sebagai daya tarikan utama produk mereka.


“Disebabkan kandungan Facebook bersifat santai, ramai yang leka serta mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga. Masa lapang yang sepatutnya dikhaskan bagi aktiviti keluarga tidak dimanfaatkan, sebaliknya baik suami mahupun isteri leka melayan sahabat alam maya itu,” katanya.


Gaya bahasa santai di samping isu ringan menjadi topik perbualan mungkin faktor utama Facebook tersenarai laman web paling kerap dilayari sehingga ada yang mengabaikan keselamatan diri serta keluarga.


Justeru, pengguna laman interaktif yang ada ketika ini termasuk Twitter, MySpace dan Friendster dinasihatkan tidak terlalu mendedahkan maklumat peribadi, bijak menyaring isi kandungan baik dan buruk, selain jangan mudah terpengaruh dengan sebarang kenyataan dan iklan yang disiarkan di laman itu.
Sumber Berita Harian April 18, 2010

No comments:

Post a Comment