Saturday, April 17, 2010

Lapan disyaki seludup petrol ditahan

Anggota Pasukan Gerakan Marin memeriksa bot yang ditahan bersama 200 bekas kosong diisi petrol di Lahad Datu.

LAHAD DATU 16 April - Pasukan Gerakan Marin (PGM) menahan lapan lelaki dan merampas 600 liter petrol yang cuba diseludup keluar dalam dua operasi di perairan Pulau Gaya, dekat sini, semalam. Timbalan Komander PGM Sabah, Supritendan Wan Shazali Wan Abdul Rahman berkata, dalam operasi pertama, polis menahan enam lelaki berusia antara 14 dan 44 tahun dan merampas bot mereka yang dilengkapi 200 bekas kosong untuk mengisi minyak. "Hasil siasatan awal, kita percaya mereka ini terlibat dalam aktiviti penyeludupan minyak ke negara jiran berdasarkan rampasan 200 bekas gelen kosong di dalam bot tersebut," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Pangkalan PGM Lahad Datu, di sini, hari ini. 

Hadir sama Pegawai Pemerintah Markas Operasi PGM Lahad Datu, Asisten Supritendan Rusdin Banin. Beliau berkata, semua lelaki berkenaan diserahkan ke Balai Polis Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya. Katanya, kes disiasat di bawah Akta Imigresen kerana semua lelaki yang ditahan itu tidak memiliki dokumen perjalanan diri. Sementara itu, dalam operasi berasingan, Wan Shazali berkata, pihaknya menahan dua lelaki dan merampas sebuah bot yang membawa muatan 600 liter petrol. Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sumber Utusan Malaysia April 17, 2010

No comments:

Post a Comment