Tuesday, April 6, 2010

Hapuskan Penyakit Serang Kelapa Sawit



SANDAKAN: Ketua Menteri Datuk Seri Musa Haji Aman meminta Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk membentuk kumpulan saintis dan penyelidik bagi mengatasi penyakit kepala sawit Ganoderma untuk jangka panjang tanaman itu.

Ia penyakit yang membimbangkan yang mampu menjadi ancaman besar kepada industri ladang kelapa sawit dan pengeluaran minyak sawit. Jika tiada rawatan, 80 peratus tanaman boleh mati separuh hayatnya dan kerugian boleh dianggarkan antara 25 dan 45 peratus penghasilan buah tandannya.

Dalam ucapannya pada seminar mengenai Penyakit Ganoderma Kelapa Sawit di Malaysia timur, anjuran Persatuan Penanam-Penanam Kelapa Sawit Malaysia Timur (EMPA), Ketua Menteri berkata berdasarkan laporan menunjukkan penyakit itu sudah berada lebih separuh ladang di Semenanjung dan beliau difahamkan setakat ini langkah-langkah yang hanya diambil mengurangkan risiko dan mengawal penyakit itu. Ucapan Ketua Menterri disampaikan oleh Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Raymond Tan Shu Kiah.

Musa yang juga Menteri Kewangan berkata banyak ladang kelapa sawit kini sudah berada untuk penanaman semula generasi ketiga tetapi sekiranya tidak ada penyelesaian untuk menghapuskan Ganoderma ini, sesetengah syarikat sudah mula untuk melabur ke negara-negara jiran yang tidak terjejas oleh penyakit ini. “Ia satu isu yang perlu diambil tindakan segera memandangkan Malaysia adalah pengeluar terbesar minyak sawit dunia, menguasai 50 peratus pengeluaran global.

“Tetapi saya amat gembira bahawa EMPA telah mengambil inisiatif untuk menubuhkan satu jawatankuasa kerja dari industri itu, Jabatan Pertanian dan MPOB untuk memerangi masalah ini,” kata Ketua Menteri. Sementara itu, beliau berkata sektor swasta melabur lebih daripada RM4 bilion dalam pelbagai projek di Koridor Pembangunan Sabah (SDC) sejak ia dilancarkan dua tahun lepas.

Sebagai tambahan katanya, RM20 bilion nilai pelaburan kini dalam pelbagai peringkat perancangan dengan beberapa inisiatif diumumkan dalam Bajet 2010. “Bajet negeri dan negara memberi penekanan terhadap peranan sektor swasta dalam pembangunan ekonomi, terutama dari segi pelaburan dan menggerakkan modal,” katanya. Musa berkata projek-projek SDC termasuk pembangunan Kelompok Industri Minyak Sawit (POIC) di Sandakan dan Pusat Penternakan Bersepadu di Keningau. Beliau berkata POIC Sandakan akan merangsang pembangunan kawasan pembangunan strategik Bio-Segi Tiga, yang meliputi Hab Pendidikan Sandakan dan projek Agropolitan di kawasan Tongod dan Beluran.

Beliau mengakui kerajaan negeri menyambut baik usaha pembangunan sumber-sumber baharu pertumbuhan seperti teknologi hijau, industri kreativiti dan industri berasaskan bidang khusus seperti pelancongan kesihatan, teknologi maklumat dan komunikasi dan sektor Halal. “Kerajaan juga akan menyokong inisiatif untuk melaksanakan program inkubator untuk melatih belia dan graduan menjadi usahawan pertanian menerusi usaha sama dengan pelbagai agensi. “Ia selari dengan usaha untuk membangunkan industri pertanian bernilai tinggi, termasuk agrobioteknologi, produk semula jadi khusus di Kawasan Perindustrian Pertanian Sabah dan Zon Makanan-Agro PKS di kawasan Pembangunan Teluk Brunei di bawah SDC,” kata Musa. Beliau berkata bagi memastikan status Sabah Negeri Maju menjelang 2015, kerajaan negeri memberi tumpuan terhadap usaha memenuhi prasyarat utama, termasuk pembangunan sumber manusia cekap dan berkemahiran tinggi, dilengkapi pengetahuan sains dan teknologi.

Sementara itu Pengerusi EMPA, Haji Othman Walad berkata penyakit Ganoderma- kanser kelapa sawit—yang boleh memusnahkan industri minyak sawit di negara ini jika tidak diatasi dengan segera. Bercakap dalam seminar itu, beliau berkata kelapa sawit adalah tanaman yang amat penting dan masih kekal eksport utama yang menjana pendapatan Sabah. Beliau berkata keseriusan penyakit ini apabila lebih 35 peratus pokok kelapa sawit boleh dimusnahkan oleh penyakit ini yang boleh mengurangkan pendapatan sehingga 46 peratus. “Kelapa sawit adalah sumber yang amat penting yang memberikan hasil pendapatan kepada kerajaan Sabah dan Sarawak melalui kutipan cukai jualan dan penyakit Ganoderma ini boleh menjejaskan hasil pendapatan kedua-dua buah negeri ini,” kata Othman.

Bagi penyelesaian jangka panjang, kata beliau EMPA akan mengadakan penyelidikan intensif bersama membabitkan parap penyelidik dari universiti-universiti tempatan dan MPOB. Penceramah jemputan pada seminar itu termasuk Ketua Pengarah MPOB Datuk Dr Mohd Basri Wahid, Profesor Madya Dr Markus Atong dan Dr Joseph Bong dari UPM Bintulu.

Sumber New Sabah Times April 6, 2010

No comments:

Post a Comment